Kementerian Pengangkutan sedia memberi kebenaran kepada syarikat penerbangan untuk menggunakan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, dekat sini, sekiranya syarikat terbabit menawarkan perjalanan ke destinasi antarabangsa seperti Singapura dan Selatan Thailand.
Menterinya, Datuk Seri Kong Cho Ha, berkata pihaknya sedia menimbang lebih banyak penerbangan antarabangsa kerana langkah itu dilihat mampu menjana kegiatan ekonomi Kelantan membabitkan aspek pelaburan dan pelancongan.
“Pada tahun 2010, jumlah penumpang yang menggunakan lapangan terbang ini lebih sejuta orang, dan tahun 2011 pula sudah mencapai 1,045,000 orang. Pertambahan bilangan penumpang itu, maka saya yakin kita akan capai sekurang-kurangnya 1.1 juta penumpang sepanjang tahun ini.
“Diharap usaha menaik taraf lapangan terbang ini, maka akan lebih banyak lagi penerbangan selain syarikat penerbangan akan terbang dari Kota Bharu ke detinasi baru,” katanya pada sidang media sempena lawatan kerja projek menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di sini, semalam.
Sempena lawatan kerja sehari itu, Kong turut mendengar taklimat berhubung pelaksanaan projek menaik taraf lapangan terbang terbabit yang menunjukkan perkembangan positif apabila 99.85 peratus sudah siap sepenuhnya membabitkan kos berjumlah kira-kira RM45 juta.
Beliau berkata, berikutan itu, syarikat penerbangan digalakkan menggunakan lapangan terbang yang sedang dinaik taraf itu untuk menawarkan penerbangan ke destinasi seperti Singapura, Selatan Thailand dan sebagainya.
“Kalau ada permohonan dari syarikat penerbangan untuk terbang ke destinasi luar negara, kita akan mempertimbangkan untuk membenarkan penggunaan lapangan terbang ini untuk terus berlepas ke destinasi luar berkenaan,” katanya.
Mengulas mengenai projek menaik taraf lapangan terbang terbabit, Kong berkata, projek dilaksanakan pada Jun tahun lalu dijangka siap sepenuhnya awal bulan depan iaitu selepas Aidilfitri ini membabitkan pemanjangan landasan terbang sebanyak 419 meter.
“Ia membabitkan kerja pemanjangan landasan, menambah dan mengganti ‘taxiway/apron’ sedia ada termasuk pemindahan bangunan stesen meteorologi. Keluasannya dari 1,981 meter kepada 2,400 meter panjang bagi memberi keselesaan untuk pendaratan pesawat seperti Airbus 320 dan Boeing 737-800.
“Berdasarkan taklimat diberikan dan lawatan ke tapak, saya berpuas hati dengan pembangunan ini dan boleh dikatakan semuanya sudah siap 99.8 peratus dan saya yakin selepas hari raya ini ia akan diserahkan kepada kerajaan dengan sepenuhnya,” katanya.
No comments:
Post a Comment