Selepas enam bulan menyertai perikatan syarikat penerbangan oneworld sejak Februari lalu, trafik keseluruhan MAS meningkat 60 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Trend pertumbuhan sihat itu berterusan apabila MAS kelmarin mengumumkan pembukaan semula laluannya ke Dubai dan Darwin, Australia serta laluan baru ke Kochi, India, selari dengan matlamat untuk menjadi syarikat penerbangan premium pilihan di Asia dan dunia, sekali gus mengembalikan zaman kegemilangannya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS, Ahmad Jauhari Yahya berkata, strategi utama MAS kini adalah memberi lebih tumpuan untuk memperluas rangkaian serantaunya, dan syarikat itu kini sedang bergerak aktif ke arah itu.
"MAS perlu membesar selari dengan pertumbuhan di rantau ini, bermakna kami perlu melabur dalam penambahan pesawat kami serta meningkatkan kualiti produk dan perkhidmatan.
"Sebagai syarikat penerbangan negara, kami memutuskan untuk membuka laluan ke tiga lokasi ini bagi memperkenalkan Malaysia kepada pasaran baru," katanya pada sidang media pengumuman laluan baru itu.
Menurutnya, MAS sentiasa memantau kehendak pasaran bagi mengukuh dan memperluaskan lagi capaian perkhidmatan kepada pelanggannya.
MAS akan memulakan penerbangan ke Kochi pada 1 September ini dan ke Darwin pada 1 November depan, sementara pembukaan semula laluan ke Dubai akan bermula pada 5 Ogos depan.
Sementara itu, mengulas mengenai strategi MAS dalam pengurusan perolehan, Ahmad Jauhari berkata, syarikat itu akan terus memaksimumkan perolehan dengan cara menawarkan harga terbaik pada masa yang tepat dan menambah kekerapan penerbangan ke pelbagai destinasi di rantau ini.
MAS mencatatkan pengurangan kerugian 46 peratus kepada RM165 juta bagi tiga bulan pertama tahun ini berbanding kerugian RM307 juta dalam suku pertama tahun lalu.
No comments:
Post a Comment