Wan Abdul Aziz

Wan Abdul Aziz (tiga,kiri) beramah mesra dengan kakitangan cemerlang dan kenaikan pangkat yang diadakan semasa Majlis Pelancaran Projek Penambahbaikan LTSIP, semalam.
KOTA BHARU - Malaysia Airport Sdn Bhd (MASB) melancarkan projek penambahbaikan untuk Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada penumpang.

Pengerusinya, Tan Sri Wan Abdul Aziz Wan Abdullah berkata, ia sejajar dengan status lapangan terbang tersebut yang  merupakan penerbangan domestik ketiga paling sibuk di negara ini.

“Selain daripada lapangan terbang Miri, Sarawak dan Subang, Selangor, LTSIP mengendalikan 1.26 juta penumpang pada tahun lepas.

“Ia meningkat sebanyak 11.2 peratus daripada tahun 2011 dan jumlah pergerakan pesawat turut mencatatkan peningkatan dua angka iaitu sebanyak 11.8 peratus dengan 17,112 pergerakan pada tahun lepas berbanding 15,304 pada tahun 2011,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Sebelum itu beliau merasmikan Majlis Pelancaran Projek Penambahbaikan LTSIP Kota Bharu yang turut dihadiri oleh Pengurusnya, Jefry Ramli.

Menurutnya, usaha MASB untuk mempertingkatkan perkhidmatan dan kemudahan di sini diharap dapat meningkat tarafkan bandar Kota Bharu sebagai sebuah pusat perniagaan dan perdagangan serta pelancongan yang utama di negeri ini.

Beliau berkata, diharap ia memberi peluang kepada lebih ramai pelabur dan pelancong ke ibu negeri yang berpotensi tinggi untuk  berkembang pesat.

Sementara itu, menyentuh mengenai projek penaiktarafan yang sedang dijalankan, Wan Abdul Aziz berkata, ia melibatkan kemudahan awam seperti tandas dan penaiktarafan kawasan menunggu di balai berlepas serta bangunan di sini juga akan dicat semula.

“LTSIP merupakan salah satu lapangan terbang kendalian MASB yang sedang menjalani pembaharuan di bawah Airport Commercial Model (ACM),” katanya.

Pada tahun lepas, LTSIP menerima anugerah Lapangan Terbang Terbaik 2012 bagi kategori Lapangan Terbang Domestik pada Anugerah Lapangan Terbang Terbaik MASB 2012.- Sinar 29 4/2013